PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

Takrif Sekolah Khas
Pendidikan khas Kementerian Pelajaran Malaysia dilaksanakan melalui:
  • Sekolah Khas bagi murid bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran.
  • Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. la diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik/vokasional yang enggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.
Definisi Murid Bermasalah Pembelajaran :
Merupakan kanak-kanak yang dikenal pasti dan disahkan oleh pakar klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Ianya berlaku kesan daripada masalah Neurologi. Kanak-kanak ini mengalami kerosakan otak yang sedikit dan tidak dapat dikesan daripada dua aspek iaitu gangguan kognitif dan gangguan motor.
Siapakah Murid Bermasalah Pembelajaran ?
  • Autisme.
  • Sindrom Down.
  • Perkembangan Lewat.
  • Cerebral Palsy.
  • Attention Deficit Hiperactivity Disorder (ADHD) /Attention Deficit Disorder.
  • Terencat Akal minima.
  • Slow Learner.
  • Gangguan Emosi.
  • Pintar Cerdas.
  • Disleksia.
CIRI-CIRI AUTISME :
a) Komunikasi :
  • Perkembangan bahasa yang lambat.
  • Jarang menggunakan bahasa.
  • Sukar diajak bercakap.
  • Mengeluarkan bahasa yang tidak difahami.
b) Interaksi Sosial : 
  • Suka bersendirian.
  • Tiada kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang mata orang lain.
  • Suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut.
c) Gangguan Deria : 
  • Sensitif pada sentuhan.
  • Tidak suka di pegang ataupun dipeluk.
  • Sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga.
d) Pola Bermain : 
  • Tidak suka bermain seperti rakan sebayanya.
  • Suka dengan objek yang berputar.
e) Emosi : 
  • Sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab.
  • Mengamuk tanpa terkawal.
  • Menyerang sesiapa sahaja.
  • Ada kalanya mencederakan diri sendiri.
CIRI-CIRI SINDROM DOWN :
  • Ciri fizikal yang ketara ialah kanak-kanak ini mempunyai rupa paras yang hampir sama iaitu kulit berlipat di bahagian mata dan mata yang sepet.
  • Kepala yang kecil, leher yang pendek, lidah terjulur, hidung leper.
  • Tangan yang pendek, tapak kaki yang lebar dan ibu jari kaki yang pendek.
  • Otot yang lemah.
  • Badan yang lebih gemuk dan lebih rendah berbanding kanak-kanak yang biasa.
CIRI-CIRI CEREBRAL PALSY :
  • Perkembangan motor kasar dan motor halus yang lambat.
  • Tindakan yang sepatutnya hilang masih kekal.
  • Berjalan dengan menjinjit atau kaki diseret.
  • Ketidaknormalan bentuk otot.
  • Lekukan pada spinal “jawbone” @ kepala kecil.
  • Masalah-masalah lain seperti penangkapan, sawan, percakapan @ komunikas, deria yang lemah, kerencatan akal, masalah pembelajaran dan masalah tingkahlaku.
CIRI-CIRI ADHD :
Kanak-kanak ini biasanya aktif dan mempunyai daya tumpuan yang singkat. Mereka dapat di kesan daripada simptom berikut:
a) Tidak memberi tumpuan
  • Gagal menyiapkan tugasan.
  • Tidak mengikut arahan.
  • Sukar menumpukan perhatian pada satu-satu aktiviti.
b) Impulsif
  • Bertindak tanpa berfikir.
  • Sukar mengendali satu-satu aktiviti.
  • Perlu beri perhatian yang lebih.
  • Sukar menunggu giliran.
c) Hiperaktif
  • Berlari ataupun memanjat sebarang objek.
  • Sukar duduk di suatu tempat dengan tenang.
  • Sentiasa aktif sepanjang masa.
CIRI-CIRI TERENCAT AKAL :
Kanak-kanak yang mengalami perkembangan minda dan daya pemikiran yang kurang ataupun tidak lengkap termasuk kecacatan dalam fungsi intelek dan sosial.Biasanya kanak-kanak yang mengalami masalah yang minima tidak dapat dikesan sejak kecil. Terdapat tanda-tanda awal yang dapat digunakan bagi mengesan kanak-kanak ini. Cara yang biasa digunakan adalah kaedah klinikal dan ujian IQ (intelligence quotient).

Berdasarkan ujian IQ, kanak-kanak terencat akal dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, terencat akal :

  • Ringan – skor IQ 50 hingga 75.
  • Sederhana – skor IQ 30 hingga 50.
  • Teruk – skor IQ 30 ke bawah.
CIRI-CIRI SLOW LEARNER :
  • Pencapaian pelajaran / akedemik berbeza.
  • Pendiam / tidak aktif / banyak cakap.
  • Sukar menerima arahan.
  • Tidak dapat berkomunikasi seperti kanak – kanak biasa.
  • Menyebut huruf – huruf yang tidak tepat / salah, bertukar – tukar.
  • Meninggalkan huruf, sukukata atau perkataan ketika membaca dan menulis.
  • Tulisan yang terlalu buruk/Sukar dibaca.
  • Kekerapan kesalahan dalam ejaan, tanda bacaan.
  • Tanpa ketetapan /Menaik dan menurun.
  • Huruf terbalik /Urutan dan arah yang salah.
  • Tanpa ketetapan dan ketentuan – jarak huruf dan perkataan.
  • Saiz yang tidak seragam / Mencampuradukkan saiz – besar dan kecil.
  • Idea yang tidak berkembangan dan penyusunan idea yang tidak teratur.
  • Perbendaharaan kata yang terhad dan tatabahasa yang tidak tepat.
CIRI-CIRI DISLEKSIA :
  • Selalu dikesan pada peringkat awal persekolahan.
  • Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
  • Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
  • Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya ‘b’ dianggap ‘p’ dan ‘p’ dianggap ‘q’.
  • Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
  • Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
  • Sering berlaku di kalangan lelaki. Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
  • Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.
KURIKULUM PENDIDIKAN KHAS
Kurikulum Pendidikan Khas adalah kurikulum yang diubahsuai mengikut keperluan murid-murid pendidikan khas. Langkah-langkah Pengajaran & Pembelajaran bagi setiap kemahiran itu boleh diperincikan oleh guru lagi mengikut tahap pemahaman murid supaya objektif Pengajaran & Pembelajaran tercapai.
Bidang Akademik Berfungsi
  • Komponen Bahasa Melayu
  • Komponen Matematik
  • Komponen Bahasa Inggeris
  • Komponen Multimedia
Bidang Pengurusan Kehidupan
  • Komponen Pengurusan Diri
  • Komponen Kemahiran Manipulatif
  • Komponen Pengurusan Tingkahlaku
  • Komponen Kemahiran Hidup
Bidang Kerohanian dan Nilai-nilai Murni
  • Komponen Pendidikan agama Islam
  • Komponen Pendidikan moral
Bidang Sosial, Riadah dan Kreativiti
  • Komponen Pendidikan Jasmani
  • Komponen Pendidikan Seni
  • Komponen Pendidikan Muzik, Gerakan dan drama
  • Komponen Pendidikan Sosial dan Alam Sekitar
Program Inklusif
Program Inklusif adalah satu program yang diberikan kepada murid pendidikan khas yang mempunyai potensi untuk belajar di aliran biasa bersama murid normal. Program Inklusif membolehkan murid pendidikan khas lebih bersedia menduduki peperiksaan UPSR. Mereka diberikan alat sokongan khas seperti mendapat bimbingan dari guru kelas yang bekerjasama dengan guru kelas khas bagi membolehkan mereka mengikuti pelajaran Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni dan lain-lain mata pelajaran dengan lebih berkesan.
PANDUAN KEMASUKAN KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS
1. Ambil borang biodata kanak-kanak khas di Bahagian Pendidikan Khas
Jabatan Pendidikan Negeri / Daerah / Sekolah.
2. Isi borang dan buat pemeriksaan doktor pakar di Hospital Kerajaan.
3. Borang yang telah lengkap diisi dikembalikan ke Bahagian Pendidikan
Khas di Jabatan Pendidikan Negeri/ Daerah.
4. Proses Penilaian kanak-kanak.
5. Proses temuduga ibu bapa dan kanak-kanak yang berjaya dalam proses
penilaian.
6. Tawaran penempatan ke sekolah yang ada Program Integrasi Pendidikan
Khas Bermasalah Pembelajaran.
7. Tempoh Percubaan (3 bulan).
8. Pengesahan penempatan di Program Pendidikan Khas.
9. Selesai.
Penempatan yang disediakan
1. Sekolah Pendidikan Khas.
2. Sekolah Integrasi.
3. Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
Program pemulihan dalam komuniti adalah untuk membantu orang-orang berkeperluan khas dalam pemulihan yang mana mereka tidak dapat mengikuti latihan atas sebab yang tertentu.

Leave a reply